Pengenalan kepada Pengalaman Pendidikan Bahasa Inggeris

Pembelajaran bahasa Inggeris aku secara rasminya bermula pada tahun 1993 iaitu semasa di darjah satu. Ketika itu, aku berumur tujuh tahun. Pada tahun 1992, aku telah tercicir daripada pendidikan tadika kerana aku berhenti sendiri selepas aku ditampar oleh seorang ustazah yang berlengan sebesar belalai gajah. Puncanya kerana aku menaiki van dan bukannya bas seperti yang disenaraikan dalam senarai nama murid selepas pulang dari lawatan ke Taman Rama-Rama Kuala Lumpur. Tamparan ustazah tersebut sebenarnya agak kuat juga selain dia menghempuk belakang badan aku kerana dia geram. Tapi, bagi kanak-kanak yang tidak memahami dunia pada ketika itu aku cuma memahaminya sebagai satu kekejaman terhadap aku. Jadi, aku enggan pergi ke sekolah lagi selepas itu dan hanya tidur saja setiap pagi.

Sebagai maklumat tambahan, aku bersekolah tadika pada tahun 1991 di Tadika Islam al-Awwam yang bertempat di Masjid al-Awwam, berdekatan dengan Pasar Besar Cheras. Aku tak faham sehingga kini kenapa ibu bapa aku begitu obses sangat dengan pendidikan Islam kerana selepas aku dewasa ini pun aku mengalami religious trauma iaitu trauma yang diakibatkan oleh orang-orang dalam institusi agama. Jika aku menjadi seorang yang baik dan beretika pun kini, mungkin disebabkan oleh sikap semulajadi aku sendiri atau jika dalam bahasa orang beragama mungkin hasil dari hidayah Tuhan semata-mata. Bukan kerana pendidikan keagamaan sangat pun.

Selanjutnya, pendidikan rendah dan menengah di Malaysia sebenarnya terbahagi kepada tiga aliran utama. Sekurang-kurangnya pada tahun 90an, pendidikan rendah di Malaysia terdiri daripada aliran iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Rendah Jenis kebangsaan Tamil. Sekolah Rendah Kebangsaan sebenarnya tidak mempunyai sebarang keistimewaan pun jika dibandingkan dengan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan. Ia hanya merupakan satu aliran pendidikan yang biasa saja menggunakan medium bahasa Melayu untuk semua mata pelajaran kecuali bagi mata pelajaran bahasa Inggeris yang menggunakan wahana bahasa Inggeris.

Sebagai anak warganegara Malaysia yang marhain, aku hanya boleh bersyukur dengan pendidikan yang sedia ada dan menghargai perkara yang kecil dalam kehidupanku. Pengalaman yang aku nukilkan di sini sebenarnya menceritakan mengenai transformasi bahasa Inggeris daripada bahasa asing sehingga ia menjadi bahasa kedua bagi seorang penutur bahasa Melayu. Bagi mereka yang menjalankan penyelidikan mengenai pengalaman pendidikan bahasa Inggeris kanak-kanak Malaysia pada tahun 90an maka hal ini bolehlah dianggap sebagai satu case study atau kajian kes yang bersifat kualitatif terutamanya bagi situasi di Malaysia.