Pendidikan bahasa Inggeris peringkat rendah aku sebenarnya banyak menggunakan buku latihan dan pembelajaran di papan hitam. Pada tahun 90an, kami masih belum mempunyai teknologi seperti gajet telefon pintar, Iphone, laptop mahu pun desktop. Seingat aku, aku baru mengenali desktop sekitar tahun 2000 semasa aku tinggal di Hulu Langat, Selangor.
Jadi, aku memulakan pendidikan rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 3 1/2 di Cheras, Kuala Lumpur. Pembelajaran bahasa Inggeris aku berkisarkan kepada perkataan asas seperti kata nama atau nouns dan kata kerja atau verbs. Aku tidak ingat banyak sangat perkara disebabkan aku selalu berpindah randah. Aku belajar di Kuala Lumpur dari darjah satu hingga darjah tiga. Selepas itu, aku berpindah mengikut bapaku dan keluarga ke Jitra, Kedah pada pertengahan tahun aku belajar di darjah tiga.
Di Jitra, Kedah, aku menyambung pendidikan darjah tiga hingga darjah empat di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin. Tempoh setahun itu aku tidak ingat langsung apa yang terjadi dalam kehidupan persekolahan aku di situ. Aku berpindah semula mengikut bapa dan keluarga ke Hulu Langat di Selangor. Di situ, aku bersekolah dari darjah lima sampai darjah enam di Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 9 dalam mukim Cheras di daerah Hulu Langat.
Secara umumnya, aku tidak menghadapi masalah dalam pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah kerana guru banyak menggunakan teknik melukis apabila memperkenalkan perkataan seperti noun. Disebabkan aku suka dengan lukisan maka aku dapat mengingati beberapa perkataan dengan baik hasil daripada teknik pengajaran guru. Antara perkataan bahasa Inggeris yang aku ingat adalah seperti brinjal yang bermaksud terung telah aku pelajari semasa darjah empat. Aku tidak pasti perkataan tersebut adalah perkataan bahasa Inggeris versi negara mana pada ketika itu. Aku beranggapan bahawa ia pastilah perkataan bahasa Inggeris dari United Kingdom. Tetapi setelah aku dewasa, aku baru mengetahui bahawa perkataan brinjal itu sebenarnya adalah bahasa Inggeris dari India. Guru bahasa Inggeris aku semasa darjah empat ialah seorang wanita India bernama Puan Devaki. Jadi, mungkin dari situ aku memperolehi perkataan bahasa Inggeris versi India.
Pada peringkat sekolah rendah, aku sebenarnya tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris dengan fasih pun lagi. Aku hanya mampu bertutur dalam bahasa ibunda sendiri sahaja iaitu bahasa Melayu loghat Kedah.