Perkembangan Bahasa Inggeris Moden

Bahasa Inggeris moden berkembang dari bahasa Inggeris moden awal yang digunakan bermula awal zaman Tudor sehingga zaman Interregnum dan Restoration di England. Karya William Shakespeare dan Injil King James dianggap sebagai karya sastera bahasa Inggeris moden atau lebih tepat lagi dirujuk sebagai karya yang menggunakan bahasa Inggeris moden terawal atau bahasa Inggeris zaman Elizabeth.

Menjelang abad ke-18 masehi, empayar British mempercepat lagi penyebaran bahasa Inggeris moden menerusi jajahan-jajahan dan penguasaan geopolitiknya. Perdagangan, sains dan teknologi, diplomasi, kesenian dan pendidikan rasmi semuanya menyumbang kepada kedudukan bahasa Inggeris yang kini menjadi bahasa global yang terulung di dunia. Bahasa Inggeris moden juga menjadi pemudah cara kepada komunikasi antarabangsa. Bahasa Inggeris diterima pakai di Amerika Utara, beberapa bahagian di benua Afrika, Australia dan rantau lain. Pada zaman pasca penjajahan, beberapa negara bangsa yang mempunyai banyak bahasa asli memilih untuk menggunakan bahasa Inggeris moden sebagai bahasa kebangsaan bagi mengelakkan pertikaian politik serta mempromosikan penggunaan salah satu bahasa asli yang ada melebihi bahasa asli lain di negara tersebut.

Bahasa Inggeris mempunyai banyak dialek yang dituturkan di pelbagai negara di seluruh dunia. Kadang-kala, rantau ini disebut sebagai anglosphere atau rantau berbahasa Inggeris. Dialek-dialek ini termasuklah bahasa Inggeris Amerika, Australia, British, Kanada, Carribean, Hiberno, Indo-Pakistan, Nigeria, New Zealand, Filipina, Singapura dan Afrika Selatan.

Menurut etnologue, terdapat kira-kira satu bilion penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama atau bahasa kedua di seluruh dunia. Bahasa Inggeris dituturkan sebagai bahasa pertama atau bahasa kedua di banyak negara. Negara yang mempunyai jumlah penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama atau bahasa kedua terbesar di dunia sekali adalah negara Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada, New Zealand dan Ireland. Selain itu, populasi terbesar penutur bahasa Inggeris juga terdapat di India, Pakistan, Filipina dan Afrika Selatan. Bahasa Inggeris mempunyai penutur bukan penutur asli terbesar dan bertebaran di seluruh dunia dan digunakan untuk pelbagai tujuan berbanding dengan bahasa lain.

Disebabkan jumlah penutur yang besar dan kehadirannya di seluruh dunia, maka bahasa Inggeris menjadi lingua franca dalam bidang penerbangan, lautan dan perkapalan, teknologi komputer, sains serta bahasa komunikasi global secara umum.