Mengingati Perbendaharaan Kata

Masalah yang kita hadapi apabila kita belajar bahasa asing di peringkat asas adalah kita sering terlupa perkataan. Sebenarnya cara yang terbaik untuk belajar bahasa asing adalah belajar perbendaharaan kata asas seperti kata nama. Kemudian, belajar kata kerja dan seterusnya.

Jadi cara untuk kita pelajari perbendaharaan kata adalah:
  • Ulang, ulang dan ulang. Setiap orang ada pelbagai cara untuk belajar dan mengikut kecenderungan bakat semulajadi mereka sendiri. Ada dua jenis pelajar iaitu yang jenis visual dan jenis audio. Jenis pelajar yang visual ini perlu belajar dengan menggunakan bahan visual supaya dia dapat membayangkan mata benda yang dipelajari. Dia perlu menulis perkataan baru. Pelajar jenis audio pula hanya mendengar dan kemudian dia mengingati perkataan baru.
  • Gunakan poster atau nota pelekat. Sebagai contoh tampal poster atau nota pelekat pada tempat-tempat di rumah seperti di tandas, di dapur, di peti ais dan sebagainya. Ia adalah cara pelajaran secara bawah sedar. Apabila kita lihat poster atau nota pelekat itu, maka kita akan hafalnya secara tidak sengaja. Satu lagi yang perlu diingati, jangan hafal 100 perkataan sehari. Hafal sehari 10 perkataan sahaja sehari. Jika anda adalah pelajar yang maju, cukup hafal 10 perkataan sahaja. Ulang-ulang balik perkataan baru dipelajari kerana perkataan-perkataan ini boleh hilang dari ingatan kita.
  • Lukis gambar. Anda boleh gunakan kemahiran anda dalam grafik komputer atau kerja-kerja seni untuk menghafal perkataan. Buat grafik cantik-cantik dan hasilkan poster dan sebagainya.
  • Buat ayat dari perkataan yang dipelajari. Cara ini adalah sedikit akademik. Rangkaikan perkataan yang telah dipelajari menjadi satu ayat. Dengan cara ini, anda akan turut mengulangi perkara pertama dalam petua yang diberikan ini.
  • Bahasa anda sendiri membantu anda belajar bahasa asing. Perkataan dalam bahasa anda mungkin ada yang sama dengan bahasa lain tapi maknanya berlainan. Anda akan mengingati perkataan dalam bahasa asing yang sama bunyinya dengan perkataan dalam bahasa anda dengan lebih cepat.