Dasar Bahasa Inggeris Memberi Kesan kepada Semua

Dasar bahasa Inggeris di Malaysia ini sangat menarik. Pada awal-awal kemerdekaan Malaysia, bahasa Inggeris dituturkan oleh kelompok ekspatariat British dan aristokrat Melayu. 

Dengan penubuhan sekolah aliran Inggeris seperti Penang Free School, Victoria Instution dan King Edward's College, bahasa Inggeris dianggap sebagai setakah lebih tinggi berbanding dengan bahasa Melayu, bahasa Tamil atau bahasa Cina Kantonis.

Mereka yang mempunyai latarbelakang pendidikan Inggeris akan berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara dan dijamin mendapat pekerjaan di jabatan-jabatan kerajaan. Walau bagaimanapun, keadaan sosiobudaya pada awal kemerdekaan berubah disebabkan oleh peristiwa 13 Mei 1969. Hal ini telah memaksa kerajaan mengisytiharkan keadaan darurat.

Bagi mengurangkan ketegangan kaum yang menyebabkan terbitnya insiden itu, kerajaan telah menggunapakai dasar-dasar yang bermaksud untuk mengelakkan insiden seumpama itu berlaku lagi. Dalam kes dasar bahasa, kerajaan telah melaksanakan Akta Bahasa Kebangsaan bagi mendukung bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan sebagai penyubur kepada kesatuan antara bangsa di Malaysia. Bahasa Malaysia diajarkan di setiap sekolah dan hal ini turut memberikan kesan kepada bahasa Inggeris di Malaysia. Bahasa Inggeris mula hilang kepentingannya apabila bahasa Malaysia mula berkuatkuasa sebagai bahasa komunikasi rasmi.

Pada 1991, kerajaan menyedari kepentingan dasar bahasa Inggeris apabila perdana menteri melancarkan wawasan 2020. Dalam erti kata lainnya, Malaysia akan menjadi negara maju menjelang tahun 2020. Setiap sektor diberikan pemangkin bagi memenuhi standard negara maju. Pada ketika ini, penguasaan bahasa Inggeris dilihat sebagai penting oleh kerajaan kerana kebanyakan negara maju menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi, perdagangan dan perjanjian perdagangan.

Bagi memperkasa bahasa Inggeris, kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan telah mendraf beberapa dasar termasuklah Pengajaran dan Pembelajaran Sains serta Matematik dalam bahasa Inggeris. Selepas beberapa tahun perbincangan, dasar pendidikan berwahanakan bahasa Inggeris diperkenal pada tahun 2003. Dasar ini menerima maklumbalas bercampur-campur dari pelajar dan ibu bapa. Terdapat pelajar yang mendapat kelulusan yang baik disebabkan oleh dasar ini namun terdapat juga pelajar yang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan bahasa Inggeris. Mereka ini terdiri daripada mereka yang belajar di kawasan pedalaman.

Pada 2012, Kementerian Pendidikan menghentikan dasar ini dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris kemudian dikembalikan ke bahasa Malaysia. Situasi yang sama turut terjadi kepada dasar lain apabila kementerian menghentikan dasar bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus. Hal ini menimbulkan kekacauan dalam kalangan orang awam, aktivis bahasa, pertubuhan bukan kerajaan dan juga ibu bapa yang berlatarbelakang pendidikan Inggeris. Kementerian mestilah membuat tindakan yang konkrit bagi setiap dasar.

Perbincangan dan persetujuan mestilah memainkan peranan utama. Setiap pihak yang terlibat mestilah dilibatkan dalam pembuatan dasar yang akan dilaksanakan. Dasar bahasa Inggeris ini dianggap sebagai dasar awam dan pelaksanaannya akan meninggalkan kesan kepada pihak yang terlibat. Dasar sebegini memerlukan banyak wang. Jika dasar ini tidak dapat memenuhi keperluan setiap golongan dan pihak berkepentingan maka ia tidak dapat memberi manfaat dan akan menjadi satu pembaziran kepada wang pembayar cukai.              

Nasrul Rahman Ghazali
Kajang, Selangor