Forum Komanwel Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan

Forum Komanwel Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan atau Commonwealth Forum of National Human Rights Institutions (CFNHRI) merupakan satu rangkaian antarabangsa institusi hak asasi manusia kebangsaan yang bertujuan untuk menggalakkan perkongsian maklumat, pengalaman dan amalan baik dalam kalangan ahlinya. Keahlian CFNHRI ini terdiri dari negara-negara Komanwel. Pada bulan Mei 2013, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah mengambil alih jawatan Pengerusi CFNHRI untuk tempoh dua tahun, yang telah berakhir pada bulan November 2015. 

Malaysia sebagai Pengerusi CFNHRI

Menurut laporan tahunan SUHAKAM tahun 2015, salah satu acara utama CFNHRI untuk tahun 2015 adalah Bengkel mengenai Perkahwinan Awal dan Paksaan serta Keganasan Seksual ketika Konflik, yang dianjurkan bersama oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Rwanda dan Unit Hak Asasi Manusia (HRU) Sekretariat Komanwel pada bulan Mei 2015 di Kigali, Rwanda. Hasil daripada bengkel tersebut adalah sebuah dokumen penting iaitu Perisytiharan Kigali yang telah diterima pakai. Perisytiharan ini menganggap serius masalah perkahwinan awal dan paksaan, terutamanya di negara-negara Komanwel. Ia juga menggariskan tindakan-tindakan penting yang boleh diambil oleh ahli CFNHRI untuk menangani dan menghapuskan perkahwinan awal dan paksaan.

Selain itu, SUHAKAM selaku Pengerusi bersama dengan HRU Sekretariat Komanwel dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Northern Ireland (NIHRC), telah menganjurkan bersama Mesyuarat Dwitahunan CFNHRI pada November 2015 di Malta. Mesyuarat itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Ketua-ketua Negara Komanwel (CHOGM). Ia bertumpu kepada subjek tematik hak asasi manusia iaitu pencegahan dan penghapusan perkahwinan awal dan paksaan serta perkahwinan kanak-kanak, kebebasan bersuara, berpersatuan dan berhimpun serta bermigrasi. SUHAKAM menyerahkan jawatan Pengerusinya kepada NIHRC pada mesyuarat tersebut. 

Kenyataan Hasil CFNHRI

Titik kemuncak mesyuarat tersebut adalah penerimaan Kenyataan Hasil CFNHRI. Kenyataan tersebut antara lain:
  • menyeru Ketua-ketua Negara Komanwel agar memberikan keutamaan yang lebih tinggi kepada promosi dan perlindungan hak asasi manusia termasuk hak asasi golongan rentan dan menyokong penubuhan dan pengukuhan NHRI di negara-negara Komanwel. 
  • menyebut mengenai penerimaan negara anggota yang menerima pakai Perisytiharan St. Julian mengenai Iklim.
  • perisytiharan tersebut digubal sempena Sesi ke-21 Persidangan Parti kepada Konvensyen Kerangka PBB mengenai Perubahan Iklim yang diadakan pada bulan Disember 2015 yang berakhir dengan penerimaan Persetujuan Paris mengenai Perubahan Iklim. 
Communique CHOGM 2015
  • ketua-ketua negara Komanwel menegaskan komitmen mereka terhadap promosi dan perlindungan hak asasi manusia dengan menzahirkan sokongan terhadap NHRI.
  • Mereka turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara dan berhimpun itu adalah penting. 
  • Selain itu, hak asasi migran mestilah dihormati tanpa mengira status.
  • Mereka bersetuju supaya usaha menghapuskan segala bentuk keganasan gender, termasuk dalam keadaan konflik dan keadaan darurat lain.
Untuk maklumat lanjut sila klik, CFNHRI.