Bahasa Inggeris Murni

Saya telah menonton video yang diterbitkan oleh Paul dari saluran LangFocus. Beliau menyatakan bahawa beliau telah membincangkan topik menarik mengenai sama ada bahasa Inggeris adalah bahasa Germanic atau sebaliknya.

Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang berbaur kontroversi juga kerana beliau berpendapat bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa hibrid dengan alasan bahawa sebanyak 58 peratus daripada kosa kata dalam bahasa Inggeris datang dari bahasa-bahasa Romance seperti bahasa Latin, bahasa Perancis, bahasa Greek, bahasa Germanic lain dan lain-lain bahasa dalam bentuk kata nama. Kenyataan ini menjadi kontroversi kerana asas kepada bahasa Inggeris memang pada bahasa jenis Germanic. Paul memaklumkan bahawa sebenarnya mungkin untuk kita bercakap dalam bahasa Inggeris dengan hanya menggunakan perkataan-perkataan Germanicnya sahaja. Contohnya seperti berikut:
  • Literature boleh disebut sebagai Bookcraft
  • Ancestor boleh disebut sebagai Forekind
Sebenarnya tidak mudah untuk bercakap sebegini sepanjang masa namun ia tidaklah mustahil. Terdapat gerakan yang mencetuskan dan mempromosikan bentuk bahasa Inggeris yang baru. Gerakan ini cuba untuk menggugurkan segala perkataan yang bukan Germanic dari kosa kata bahasa Inggeris supaya bahasa Inggeris bebas dari pengaruh bahasa Romance dan bahasa Greek. Setengah orang merujuk kepada versi bahasa Inggeris yang bersifat Germanic ini sebagai bahasa Anglish. Hal ini kerana bahasa ini dicetuskan bertujuan untuk mengembalikan akar bahasa Inggeris yang berasaskan kepada kebudayaan Anglo-Saxon. Anglish ini bolehlah dirujuk sebagai satu bentuk linguistic purism atau pemurnian bahasa.
Anglish cuba untuk mencapai kemurnian dengan beberapa cara iaitu:
  • Memilih perkataan Germanic yang sedia ada berbanding menggunakan perkataan Romance yang setara dengannya;
  • Menghidupkan semula perkataan Germanic yang sudah tidak digunakan lagi;
  • Menerima pakai perkataan dari bahasa Inggeris lama atau bahasa Germanic lain atau menyesuaikannya dengan bahasa Inggeris; dan
  • Mencipta perkataan baru dengan menggunakan akar kata dari bahasa Inggeris lama atau bahasa Germanic yang lain.
Sebagai contoh dari gerakan pemurnian di atas, dilampirkan ayat-ayat untuk rujukan:
  • The man forgot his rainshade at home. Rainshade dicetuskan dari perkataan sunshade untuk menggantikan perkataan Romance dalam bahasa Inggeris untuk payung iaitu umbrella. Perkataan lain dalam ayat ini adalah jenis Germanic. Ia masih lagi bahasa Inggeris moden, hanya perkataan Romance sahaja digantikan dengan perkataan yang Germanic.
  • I onlook the man since he is very ithand. Perkataan onlook berasal dari bahasa Inggeris lama anlec yang bermaksud memerhatikan atau meneliti bagi memberi maksud kepada respect yang merupakan perkataan Romance. Because digantikan dengan since dan ithand pula bermaksud industrious. Perkataan ithand masih digunakan dalam dialek bahasa Inggeris di Utara England dan Scotland.
  • A nameknown showplayer I've seen on the farseer. Perkataan nameknown adalah neologi yang baru dicipta bagi menggantikan perkataan famous. Showplayer juga merupakan neologi yang dicetuskan untuk menjadi gantian kepada actor bagi memurnikan ayat ini dari pengaruh bahasa Romance. Perkataan farseer untuk television pula hampir serupa dengan perkataan fernseher dalam bahasa German.
Paul selanjutnya menyatakan bahawa dalam perbualan harian, kita banyak sekali menggunakan perkataan Germanic. Namun, untuk sesetengah underwarps atau topics seperti witship atau science, kita banyak menggunakan perkataan outland atau foreign untuk menerangkan sesuatu idea.
 
Menurut Paul, pada tahun 1989 penulis Poul Anderson telah forlaid (published) a well-known writ (article) berjudul Uncleftish Beholding atau Teori Atom dengan hanya menggunakan perkataan Germanic tanpa penggunaan perkataan bahasa asing. Mari lihat paparan rencana yang ditulis oleh penulis ini dalam bahasa Inggeris:
"For the most of its being, mankind did not know what things are made of but could only guess. With the growth of worldken, we began to learn, and today we have a beholding of stuff and work that watching bears out, both in the workstead and daily life. The underlying kinds of stuff are the firststuffs, which link together in sundry ways to give rise to the rest. Formerly we knew of ninety-two of firststuffs, from waterstuff, the lightest and barest, to ymirstuff, the heaviest."
Perkataan yang ditebalkan itu mempunyai padanan Romancenya. Padanannya adalah seperti berikut:
  • being existence
  • worldken physics
  • beholding theory
  • stuff matter
  • work energy
  • workstead workplace
  • firststuff element
  • sundry various
  • waterstuff hydrogen
  • barest simplest
  • ymirstuff uranium
Paul berpendapat bahawa, "in my wen (opinion), this seems like true English, but somewhat weird English". Pada pandangan beliau, bahasa Inggeris murni ini menarik perhatian kerana kita akan menyedari bahawa kita banyak sekali menggunakan perkataan non-Germanic dalam percakapan bahasa Inggeris sedangkan ia masih mempunyai padanan Germanic. Selain itu, kita juga mendapati bahawa tidak mustahil untuk bercakap dengan hanya menggunakan perkataan Germanic semasa berbual jika kita berkehendak untuk menggunakan kosa kata yang baru diterbitkan dari perkataan Germanic atau yang memang sedia wujud. Tatabahasanya masih sama. Yang berbeza hanyalah perkataan yang digantikan bagi menghindarkannya dari pengaruh bahasa asing.
 
Jadi persoalannya di sini adalah:
  • Apakah pandangan anda berkenaan dengan linguistic purism seperti Anglish ini?
  • Pada pandangan anda, apakah sebab kita menghindarkan pengaruh bahasa asing dalam sesuatu bahasa? atau
  • Adakah anda melihat pengaruh asing dalam sesuatu bahasa itu sebagai satu perkembangan dalam sesuatu bahasa?